03-5524-0233 | 03-5524 0253
support@phssb.com

Buletin

PHSSB proaktif susun strategi terbaik

Selesai masalah penduduk 3 PPR secara berhemah

Perumahan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) iaitu anak syarikat Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bertindak secara proaktif dalam menyusun strategi memberikan perkhidmatan terbaik buat penduduk di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawah pengurusan mereka.

Dengan tanggungjawab tiga PPR iaitu di Kampung Baru Hicom Shah Alam, Serendah dan Kota Damansara di atas bahu mereka, pelbagai masalah perlu dihadapi secara berhemah terutama dalam melayan sikap serta karenah penyewa.

Menyingkap kisah PPR Seri Kiambang, Taman Tasik Teratai, Serendah, PHSSB mula mengambil alih tanggungjawab mengurus dan menyelenggara bangunan itu daripada LPHS bermula 1 Mac 2015.

Ketika pengambilalihan, bangunan PPR Serendah berada dalam keadaan tidak terurus dan perlu banyak kerja baik pulih dan naik taraf. Selain itu, terdapat banyak unit kosong tidak disewakan menjadi mangsa vandalisme dan perlu pembaikan yang besar.

Bagaimanapun, kini bangunan itu kembali berseri apabila LPHS dan PHSSB menjalankan kerja pembaikan dan menaiktaraf secara berperingkat antaranya membaik pulih bumbung, mengecat serta membuat pendawaian semula bangunan.

Kemudahan awam seperti pondok pengawal, pintu pagar utama dan rumah sampah turut ditambah baik untuk keselesaan penyewa selain melakukan kerja menaik taraf panel kawalan pam air juga sistem perpaipan. Selain itu, unit kosong turut dibaik pulih untuk kemasukan penyewa baru secara berperingkat dan kerja pembaikan juga naik taraf itu menelan belanja RM800,000.

Sediakan khidmat keselamatan

Terkini, PPR Serendah menempatkan 78 unit berpenghuni. Selain itu, PHSSB turut menyediakan perkhidmatan keselamatan bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman di PPR terbabit.

Setakat ini, PHSSB dan LPHS sudah membelanjakan RM4.5 juta untuk kerja menaik taraf PPR Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, Shah Alam yang kini menempatkan 928 unit berpenghuni.

Jumlah besar itu membabitkan kerja pembaikan lif ekoran vandalisme, penggantian lampu jalan dan penurapan semula kawasan rumah sampah.

Loji kumbahan bermasalah juga sudah diselenggara selain penggantian penutup jenis besi dan konkrit bagi longkang yang tidak bertutup serta rosak.

Kerja baik pulih PPR Kota Damansara pula menelan kos perbelanjaan yang dianggarkan bernilai RM6 juta setakat ini.

Mempunyai 1,137 unit berpenghuni, PPR Kota Damansara yang mula diuruskan sejak Mei 2013 daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) turut menikmati perkhidmatan lif yang sudah dibaik pulih, susur tangan tangga selain dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Kemudahan awam lain seperti pondok pengawal, pintu pagar utama, rumah sampah dan taman permainan juga sudah dinaik taraf seperti yang dilakukan di PPR Serendah serta Kampung Baru Hicom.

Penyewa batasi arus perubahan

Walaupun PHSSB sudah melakukan segala kerja baik pulih yang menelan belanja begitu besar, namun sikap lepas tangan penyewa tanpa kesedaran sivik membatasi arus perubahan yang diciptakan.

Kelewatan membayar sewa bulanan menjadi perkara biasa dalam kalangan penyewa tambahan gejala vandalisme pada lif, dinding koridor dan tangga, pintu bilik SDF, bilik janakuasa elektrik juga alat pencegahan kebakaran boleh meningkatkan lagi kos penyelenggaraan.

Tidak cukup dengan itu, sikap penyewa tidak bertanggungjawab yang membuang sampah di kawasan koridor dan tangga bangunan mengundang rasa tidak selesa persekitaran setempat.

Menyingkap cabaran yang dilalui sepanjang menjaga PPR, Penolong Pengurus PHSSB (Pengurusan PPR), Fadhilah Abdul Razak berkata, PHSSB memperkenalkan sistem perjanjian sewa dalam memastikan penyewa yang menduduki benar-benar layak dan bersedia mematuhi peraturan ditetapkan.

“Kita dalam proses pemilihan nama penyewa. Kita akan berikan notis makluman awal pada Oktober ini kepada mereka sama ada boleh terus duduk atau diminta mengosongkan unit. Mana-mana penyewa yang gagal bayar sewa semasa dan tunggakan serta melanggar syarat penyewaan, maka penyewaan mereka tidak akan disambung,” katanya.

Atasi budaya ‘sewa atas sewa’

Katanya, sistem itu diperkenalkan bagi memudahkan PHSSB mengenal pasti penyewa sebenar bagi mengelakkan berlakunya ‘sewa atas sewa’.

Fadhilah berkata, kebiasaannya budaya ‘sewa atas sewa’ berlaku dalam kalangan saudara mara dan ia dikenal pasti ketika mereka mula mengambil alih pengurusan PPR.

Akhir-akhir ini, budaya itu berjaya dibenteras dengan mengeluarkan notis penamatan penyewaan serta-merta sekiranya terdapat penyewa yang berbuat demikian.

“Kita sebenarnya mengharapkan penduduk memberikan kerjasama dengan melaporkan terus ke pejabat PHSSB di PPR masingmasing jika berlaku perkara yang mencurigakan termasuk kes ‘sewa atas sewa’.

“PHSSB mahu mereka yang benar-benar layak sahaja menduduki PPR supaya kedua pihak boleh bekerjasama tanpa ada banyak masalah,” katanya.

Beliau berkata, secara purata hampir RM200,000 dibelanjakan setiap bulan untuk kos penyelenggaraan PPR Hicom dan Kota Damansara, sementara RM11,000 diperuntukkan untuk PPR Serendah.

Berkenaan jumlah kutipan sewa bulanan, PHSSB merekodkan kutipan 100 peratus walaupun ada penyewa enggan mematuhi tarikh bayaran.

“Mengikut sistem, sewa perlu dibayar sebelum atau pada tujuh hari bulan setiap bulan. Jika gagal, notis peringatan akan dikeluarkan pada 8, 16 dan 25 hari bulan.

“Jika masih gagal, penyewa akan diberikan notis pemotongan bekalan air, kemudian kita akan cabut meter. Seandainya penyewa masih gagal menjelaskan sewa, PHSSB akan mengeluarkan notis penamatan dalam masa sebulan,” katanya.

Beliau berkata, jumlah penyewa yang diberikan notis penamatan semakin berkurangan kerana mereka akan kembali menjelaskan bayaran sewa jika pemotongan bekalan air dibuat.

Bagi memudahkan pembayaran sewa dan urusan penyewaan, pejabat urusan dibuka di setiap PPR yang diuruskan PHSSB. Waktu operasi adalah pada jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang pada Isnin hingga Jumaat, manakala jam 8.30 pagi sehingga 1.00 petang untuk Sabtu dan ditutup pada Ahad, juga cuti umum.

Keratan akhbar SelangorKini 23 – 30 September 2016

OLEH AFIX REDZUAN