JOHOR BAHRU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mengkaji untuk menyenarai hitam penyewa Program Perumahan Rakyat (PPR) yang culas dan gagal membayar sewaan dalam tempoh yang lama, menerusi Agensi Pelaporan Kredit (CRA).
Menterinya, Zuraidah Kamaruddin, berkata langkah itu akan dikuatkuasakan menerusi Akta 757 yang akan diperincikan dalam tempoh tiga bulan lagi.
“Sebenarnya Akta 757 ini sudah diluluskan kerajaan sejak 2015 lagi namun belum dikuatkuasakan kerana perbadanan pengurusan penduduk masih tidak mahir menggunakan undang-undang ini.
“Kementerian akan mempermudahkan Akta Pengurusan Strata (Akta 757) bagi membolehkan ia difahami perbadanan pengurusan penduduk sebelum mengeluarkan perincian mudah undang-undang ini dalam tempoh tiga bulan.
“Dalam masa yang sama, kita juga akan mengkaji sama ada terdapat keperluan memasukkan perincian menyenarai hitam penyewa PPR yang culas dan mempunyai tunggakan terlalu besar menerusi CRA termasuk CTOS.
“Jika ada keperluan, kita akan masukkan perincian penyewa culas dengan tunggakan tinggi (membabitkan sewa sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan ke dalam edisi Akta 757 yang dipermudahkan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti (PSMK) di Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, Tebrau, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang juga EXCO Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Oktober lalu, media melaporkan tunggakan bayaran sewa membabitkan Projek Perumahan Awam (PPA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negara ini kini mencecah RM58 juta.
Kerajaan meluluskan Akta 757 itu berkuat kuasa pada 2015 bagi menggantikan Akta Bangunan Dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007 (Akta 663) dan Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318).
Akta Pengurusan Strata (Akta 757) adalah undang-undang yang diperuntukkan untuk mengawal selia penyelenggaraan dan pengurusan bangunan bertingkat atau tanah yang dipecah bahagi dan dikeluarkan hak milik strata, bermula dari peringkat penyerahan milikan kosong sehingga ke peringkat selepas perbadanan pengurusan diwujudkan.
Sementara itu, Zuraida berkata, sebanyak 19 PSMK sudah diwujudkan di PPR seluruh negara.
Katanya, penubuhan PSMK adalah inisiatif kementerian di bawah pelaksanaan Dasar Komuniti Negara yang dilancarkan 17 Februari tahun lalu.
“PSMK ini berfungsi sebagai pemudah cara dan penjalin hubungan antara komuniti dan agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Menerusi PSMK ini juga pegawai kementerian akan ditempatkan di situ sepenuh masa bagi membolehkan anggota komuniti PPR menyuarakan masalah dihadapi serta mencadangkan program yang ingin dilaksanakan, ” katanya.
Oleh Mohamed Farid Noh
Comments are closed.