03-5524-0233 | 03-5524 0253
support@phssb.com

Skim Smart Sewa bantu B40 miliki Rumah Selangorku – MB (Selangor Kini)

SHAH ALAM, 11 MEI: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM50 juta menerusi pembiayaan Skim Smart Sewa bagi membolehkan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) memiliki kediaman Rumah Selangorku.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, peruntukan dana berkenaan diwujudkan selepas menyedari bilangan penolakan tawaran Rumah Selangorku, khususnya pemohon yang gagal mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan ekoran tidak memenuhi syarat ditetapkan.

Katanya, hampir 50,000 tawaran perumahan mampu milik itu diluluskan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sehingga Mac lalu.

“Namun, kira-kira 35 peratus pemohon Rumah Selangorku berdepan masalah pembiayaan pinjaman perumahan daripada institusi kewangan, disebabkan pelbagai isu seperti tunggakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kad kredit.

“Disebabkan masalah ini dan kos sara hidup semakin meningkat, permintaan terhadap rumah mampu milik sentiasa didengari daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Dasar Perumahan Mampu Milik Negara yang turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, di Elmina Community Park di sini, hari ini.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkata, kelompok berkenaan tidak harus ketinggalan untuk mendapatkan kediaman memandangkan mereka adalah kumpulan sasar bagi perumahan mampu milik yang dibangunkan Kerajaan Negeri.

“Melalui skim ini, sebanyak 341 unit rumah disewakan dengan kadar sewaan bermula daripada RM450 sebulan sehingga RM700 sebulan.

“Sebanyak 101 unit sudah disiapkan pada awal tahun ini dan bakal disewakan dalam masa terdekat, manakala sebanyak 541 unit dijangka dapat disiapkan pada pertengahan tahun ini hingga awal tahun hadapan,” katanya.

Pada masa sama, beliau mempelawa pemaju swasta seperti Sime Darby Property untuk bersama Kerajaan Negeri menjayakan insentif perumahan mampu milik yang lebih berkualiti dan dilengkapi kemudahan mencukupi

“Rumah Lestari D3 Sime Darby Property dengan Harmoni Elmina 1 yang dilancarkan di Elmina West adalah bukti komitmen dan usaha inovatif syarikat itu dalam menyampaikan perumahan berkanun yang lebih baik di Selangor.

“Pemaju hartanah perlu menjadikan projek ini sebagai tanda aras baharu dalam pembangunan perumahan mampu milik dan inspirasi untuk merangka lebih banyak kaedah pembangunan serta reka bentuk perumahan bagi menjana industri pembangunan hartanah yang lebih progresif,” katanya.

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

Foto Sumber – BERNAMA

Comments are closed.